
Gara-Gara Wujud Wabak Baru, Shanghai Buat Ujian Covid-19 Besar-Besaran.
SHANGHAI: Hab komersial Shanghai di China berdepan pusingan ujian COVID-19 besar-besaran yang tidak dijangka bagi kebanyakan penduduk hujung minggu ini, hanya selepas 10 hari penutupan seluruh bandar ditarik balik.
Perkembangan terbaharu itu sekali gus dilihat mengganggu aktiviti penduduk dan menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap sektor perniagaan.
Pegawai Shanghai berkata tujuh daripada 16 daerah di bandar itu akan menjalankan ujian PCR untuk semua penduduk pada hujung minggu berikutan penemuan beberapa kes dalam komuniti bertujuan mencegah wabak baharu.
Enam daerah lain turut mengumumkan rancangan sama pada hari itu. Menurut beberapa daerah, penduduk tidak akan dibenarkan meninggalkan rumah mereka ketika ujian dijalankan.
“Ketika pensampelan komuniti dilakukan, hanya akan ada laluan masuk dan bukan keluar, yang akan ditarik balik selepas pensampelan tamat,” menurut satu notis di Changning.
“Kami berharap penduduk akan mengambil bahagian secara teratur dalam ujian PCR.”
Pengumuman itu disambut dengan kejutan dan kebimbangan, dengan beberapa individu menggunakan platform Weibo seperti Twitter untuk bertanya bagaimana ujian itu akan menjejaskan rancangan hujung minggu, seperti berpindah rumah atau berjumpa doktor. Ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka boleh ‘dikurung’ semula.
Penduduk perlu mengemukakan bukti bahawa mereka menjalani ujian COVID dalam tempoh 72 jam untuk memasuki kawasan seperti pusat beli-belah dan pejabat atau menggunakan kereta api bawah tanah dan bas.
Ramai yang kecewa kerana terpaksa beratur panjang selama berjam-jam di lebih 15,000 pusat vaksinasi yang berselerak di sekitar bandar untuk berbuat demikian.
Beberapa bahagian di bandar itu kekal di bawah atau kembali dikenakan sekatan pergerakan sejurus selepas 1 Jun disebabkan kes positif dan hubungan kontak rapat mereka.
Tiga daripada jangkitan terbaharu yang telah menyebabkan beberapa penutupan dikesan di salun kecantikan popular di pusat bandar yang dibuka semula pada 1 Jun.
Walaupun kadar jangkitan China rendah mengikut piawaian global, Presiden Xi Jinping menggandakan dasar sifar-COVID yang menurut pihak berkuasa diperlukan untuk melindungi warga tua dan sistem perubatan negara, walaupun negara lain cuba hidup dengan coronavirus.
Penutupan selama dua bulan di Shanghai mencetuskan kekecewaan yang meluas, kemarahan dan juga protes yang jarang berlaku di kalangan penduduknya, ketika mereka bergelut dengan kehilangan pendapatan, kehilangan kebebasan, kematian rakan dan saudara, dan juga kelaparan.
Ia juga menjejaskan ekonomi China, mengganggu rantaian bekalan dan memperlahankan perdagangan antarabangsa. – REUTERS
SEBARKAN :