
Dua Pekerja Kilang Coklat Terjatuh Dalam Tangki Berisi Coklat. Kejadian Di Kilang Coklat Mars Wrigley.
NEW YORK – Dua orang diselamatkan kelmarin selepas terjatuh ke dalam sebuah tangki berisi coklat di sebuah kilang coklat Mars Wrigley, dalam negeri Pennsylvania, lapor media Amerika Syarikat.
Beberapa laporan menyebut bahawa kedua-duanya tidak berdaya keluar daripada tangki tersebut di mana mereka tenggelam pada paras pinggang dalam coklat sehinggalah diselamatkan.
“Anggota-anggota penyelamat terpaksa membuat lubang pada sisi tangki itu untuk membebaskan mereka yang terperangkap,” kata penyelia komunikasi perkhidmatan kecemasan 911 Daerah Lancaster, Brad Wolfe kepada saluran berita CNN.
Rakaman media tempatan memaparkan sebilangan kenderaan polis dan kecemasan di luar kilang tersebut di bandar Elizabethtown, timur Pennsylvania
Kedua-dua pekerja berkenaan dibawa ke hospital tetapi keadaan mereka masih tidak diketahui, demikian menurut media tempatan. – AFP
SEBARKAN :