1MDB : Keterangan Arul Kanda

1MDB : Keterangan Arul Kanda Ditangguhkan Kepada Jumaat Kerana Peguam Bela Utama Demam.

POLITIK

1MDB : Keterangan Arul Kanda Ditangguhkan Kepada Jumaat Kerana Peguam Bela Utama Demam.

 

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwaan dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy memberikan keterangan saksi yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan kepada Jumaat kerana peguam bela utama demam.

Ketika awal prosiding hari ini, peguam Rahmat Hazlan, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau menerima panggilan telefon daripada peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang memaklumkan tidak dapat hadir pendengaran hari ini kerana mengalami demam dan sakit tekak.
\

“Apabila beliau hubungi saya pagi ini, suaranya kedengaran seperti Sean Connery (pelakon Hollywood),” katanya.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, sambil tersenyum mendengar penjelasan itu, bagaimanapun berkata pelakon terbabit sudah meninggal dunia dan bukan contoh yang baik kerana sudah tiada.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, bagaimanapun tidak membantah terhadap penangguhan itu.

Mohamed Zaini membenarkan penangguhan prosiding dan kemudiannya menetapkan pada Jumaat ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada 20 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya mengemukakan permohonan lisan supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sementara pembelaan pula menyifatkan ia bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *