Liyana Razali

Polis Buru Liyana Razali.

TERKINI

Ipoh: Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita , Liyana Razali selepas dua kali gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan atas kesalahan penyebaran berita palsu berkaitan dua kematian membabitkan pelajar disebabkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata, waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadap Liyana Razali beralamat terakhir di No 2, Jalan Sri Mersing 30, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.

Beliau berkata, tertuduh dikehendaki kerana gagal hadir ke mahkamah sebanyak dua kali iaitu pada 21 Januari 2022 serta dan pada tarikh baharu yang ditetapkan mahkamah iaitu 10 Februari lalu.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan polis bagi mengesan penama ini untuk hadir ke mahkamah, namun dia gagal dijumpai mahupun dihubungi.

“Polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam untuk mengesan penama ini bagi tindakan selanjutnya,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kenyataan dikeluarkan oleh penama terbabit mengenai kematian dua murid disebabkan vaksinasi Covid-19 pada 28 September tahun lalu adalah tidak benar.

Katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya sebelum arahan dikeluarkan supaya wanita itu dituduh mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

“Tuduhan dibuat kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Zulkefly Mohd Mukhtar di talian 012-4336999,” katanya.

Tahun lalu, tular klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin Covid-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai, Ipoh disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang kononnya mengalami alahan serius selepas divaksin.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published.