
Balu tak dapat tidur malam, makan tak lalu memikirkan Rumah Bakal Dilelong.
SUNGAI PETANI – Seorang balu buntu memikirkan nasib diri dan anak lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sebaik sahaja menerima notis lelongan rumah, Januari lalu.
Rohani Saat, 43, berkata, rumah yang menjadi tempat mereka berteduh di Taman Lembah Permai di sini dibeli pada 2004 ketika arwah suami masih berkhidmat sebagai anggota tentera, namun mempunyai banyak tunggakan akibat tidak mampu dibayar setelah tidak lagi bekerja.
Menurutnya, perkhidmatan suami selama 18 tahun sebelum berhenti akibat sakit buah pinggang tidak mampu menyelesaikan jumlah keseluruhan pinjaman.
“Suami berhenti kerja pada 2013, setahun selepas itu, saya mengambil alih tugas dan bekerja bagi menyara keluarga.
“Saya juga tidak mampu nak bayar rumah sebab selepas beberapa tahun, saya juga terpaksa berhenti kerja menguruskan suami yang sering keluar masuk hospital dan anak yang menghidap autisme,” katanya.
Jelasnya, berita kematian suami pada Mei 2021 amat mengejutkan,di tambah pula perlu menguruskan anak, Muhammad Syamael Ajwad, 16, seorang diri sedangkan dirinya juga sering jatuh sakit.
“Saya tak dapat tidur malam, makan pun tak lalu memikirkan selepas ini kami nak tinggal di mana sedangkan anak juga memerlukan penjagaan eksklusif,” katanya.
Rohani yang disahkan menghidap Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana sendi di pangkal paha turut terkesan akibat terjatuh semasa bekerja kira-kira lima tahun lalu.
SEBARKAN :