
Bekas C4, Lalitha Kunaratnam Di Panggil Bukit Aman.
KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis, Khamis ini.
Ia dipercayai berkaitan penulisan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang dihubungi BH hari ini mengesahkan perkara itu.
“Betul dia (Lalitha) akan dipanggil bagi membantu polis dan melengkapkan siasatan. Proses rakam keterangan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Lalitha dimaklumkan melalui panggilan telefon hari ini untuk hadir ke Bukit Aman pada jam 2.30 petang, Khamis ini.
Lalitha dipetik sebagai berkata beliau dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung dua artikelnya yang bertajuk ‘Business ties among MACC leadership: How deep does it go?’.
Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguam mewakilinya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tuntutan saman fitnah itu berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.
Peguam cara, Megat Abdul Munir, dipetik berkata keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas bekas penyelidik C4 itu gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) bertarikh 6 Januari lalu.
Azam sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM, selain bagi memastikan dakwaan tidak berasas sedemikian tidak berulang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai, ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.
Pada 5 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, memaklumkan pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam, iaitu Nasir Baki.
Bagaimanapun, pada 19 Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan, keputusan bahawa tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam adalah berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.
SC berkata, bukti berkenaan menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.
SEBARKAN :