
Luar Biasa! tiket Dolla Mini Showcase Sold Out Tidak Sampai 5 minit.
KUALA LUMPUR: Tidak sampai lima minit dilancarkan, tiket Dolla Mini Showcase yang bakal berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performace Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya pada 19 Februari depan habis dijual.
Terkejut dengan berita itu, ahli kumpulan Dolla, Angel menyifatkannya sebagai penghargaan berganda buat mereka.
“Kami terkejut dan tidak menyangka tiket begitu laris. Jadi, Dolla berharap peminat, khususnya kelab peminat, iDolla akan menikmati persembahan Dolla untuk kali pertama secara langsung di depan mereka.
“Dolla gembira kerana akhirnya diberi peluang mengadakan persembahan di hadapan peminat. Lagipun, kami adalah puteri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana muncul ketika fasa PKP dilaksanakan.
“Kami tidak sabar mahu bertemu peminat. Jadi, peluang ini sangat berharga buat kami,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi lanjut momen yang bakal melakar sejarah buat kumpulan yang popular menerusi lagu Make You Wanna, Syasya memaklumkan, idea untuk mengadakan showcase ini dicetuskan oleh syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.
“Idea syarikat rakaman memang bagus kerana Dolla tidak pernah bertemu peminat terutama iDolla secara langsung. Ini disebabkan kami muncul ketika fasa PKP dilaksanakan.
“Selama ini, kami hanya dapat berinteraksi di alam maya. Jadi, showcase ini menjadi satu peluang untuk mendekati dan berinteraksi dengan mereka secara langsung,” katanya.
Selain persembahan bervariasi, mutu vokal juga dipertingkatkan. Terdapat juga beberapa kejutan yang bakal dipertontonkan Dolla kepada peminat.
“Ada banyak kejutan yang akan Dolla tampilkan, namun, kami tidak mahu berkongsi terlebih dahulu.
“Ini kerana ia tidak akan menjadi istimewa jika diberitahu sekarang. Jadi, nantikan showcase Dolla nanti,” jelas Tabby.
Dianggotai empat gadis remaja, Dolla yang juga pemenang Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini mempunyai pengaruh cukup besar dalam industri muzik termasuk menjadi kumpulan wanita pertama yang tampil di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat.
SEBARKAN :