
Raya Cina : 3 Februari Cuti Wajib Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
3 Februari Cuti Wajib Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memilih dan menyenaraikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina sebagai antara hari kelepasan am syarikat wajib memberikan cuti kepada pekerja pada 3 Februari ini.
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Sumber Manusia, dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan ketetapan itu selaras dengan Seksyen 60D Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang memperuntukkan majikan sektor swasta perlu memberi hari kelepasan am berbayar sebanyak 11 hari setiap tahun.
“Pada tahun ini, kedua-dua kelepasan am ini bertindih pada 1 Februari 2022. Seksyen 60D Akta 265 menyatakan bahawa sekiranya cuti umum berkenaan jatuh pada hari yang sama, maka hari berikutnya adalah hari kelepasan am berbayar.
“Justeru, bagi bagi pekerja sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, jika majikan memilih menyenaraikan Tahun Baharu Cina sebagai salah satu hari kelepasan am syarikat, maka majikan adalah wajib memberikan cuti pada 3 Februari 2022,” katanya
Semalam, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, berkata semua majikan sektor swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan perlu memberi tambahan satu hari kelepasan am berbayar kepada pekerja pada 3 Februari ini.
Katanya, ia berikutan berlaku pertindihan antara sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 1 dan 2 Februari ini dan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia turut memberitahu, bagi majikan yang tidak menyenaraikan perayaan Tahun Baharu Cina sebagai hari kelepasan am yang diambil, majikan hanya perlu memberikan hari kelepasan am berbayar bagi Hari Wilayah Persekutuan sahaja.
Mengulas lanjut, katanya, daripada 11 hari yang diwajibkan bagi sektor swasta memberikan kelepasan am berbayar, lima hari kelepasan am yang wajib diambil termasuk Hari Wilayah Persekutuan.
“Ia wajib dilaksanakan majikan yang tempat pekerjaannya terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Baki enam hari lain boleh dipilih dalam senarai hari kelepasan am sebagaimana Jadual Pertama Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369). Dalam jadual berkenaan menyebut, Tahun Baharu Cina adalah hari kelepasan am iaitu sebanyak dua hari bagi negeri lain kecuali Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Kenyataan sama turut mengingatkan Akta 265 itu tidak terpakai kepada penjawat awam dan lain-lain golongan pekerja yang tidak tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta 265.
Katanya, golongan pekerja di bawah Akta 265 adalah mereka dengan gaji RM2,000 dan ke bawah
SEBARKAN :