
PRN Johor : Terlalu Awal Persoal Siapa Menteri Besar Johor, Dr Maszlee Malik Harap PH Menang.
KLUANG: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, menegaskan soal perlantikan Menteri Besar Johor adalah kuasa mutlak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Dr Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan, berkata apa yang penting adalah kemenangan semua komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlebih dahulu.
“Pertama sekali kita mesti ingat kuasa melantik menteri besar adalah kuasa Tuanku Sultan (Sultan Ibrahim Iskandar). Jadi kalau boleh, sebagai negeri yang ada Sultan ni, janganlah melangkau Sultan.
“Fokus utama saya dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam yang untuk menang dalam N26 dan N27 (DUN Machap dan Layang-layang) itu saya akan lakukan sungguh-sungguh
“Siapapun yang bertanding parti, kita akan pastikan kemenangan PH di situ dan fokus PH adalah untuk memenangi Johor. Saya memberikan komitmen untuk membantu dan memenangkan semua calon PH di kawasan yang kita tandingi,” katanya.
Tegasnya, tidak timbul sama ada beliau berniat bertanding di salah satu kerusi berkenaan terutama di N27 yang sebelum ini dimenangi cicit Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri.
“Yang penting niat saya adalah untuk memenangkan siapa pun bertanding di DUN Machap dan Layang-layang. Sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam, niat saya adalah untuk melihat kemenangan PH di kedua-dua DUN ini.
“Terserah kepada negeri untuk putuskan tetapi di pihak Parlimen Simpang Renggam, kami akan kemukakan supaya bendera Keadilan digunakan di kedua-dua DUN ini kerana ia lebih dikenali dan kita menang pada pilihan raya 2018 adalah kerana lambang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PH N26 dan N27 di Pejabat Keadilan Cabang Simpang Renggam di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Maszlee tidak mengetahui mengenai khabar angin mengatakan beliau akan bertanding di DUN Layang-layang pada PRN Johor.
Maszlee berkata, beliau tidak terbabit dalam sebarang perbincangan di peringkat atasan parti bagi menentukan calon yang akan bertanding dalam PRN Johor.
SEBARKAN :