
Enam Roket Bedil Lapangan Terbang Ibu Kota Iraq.
Roket Bedil Lapangan Terbang Ibu Kota Iraq.
BAGHDAD: Enam roket menghentam lapangan terbang ibu kota Iraq hari ini mengakibatkan kerosakan tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku, kata sumber keselamatan,
Menurut maklumat sumber, roket itu kena pada landasan dan kawasan meletak pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.
“Sebuah pesawat awam ditembak dan dirosakkan,” kata sumber dari Kementerian Dalam Negeri.
Sumber keselamatan kedua pula mengesahkan serangan itu membabitkan enam roket yang disasarkan sekitar kawasan awam di lapangan terbang dan merosakkan pesawat yang sedang dibaiki.
Sumber ketiga berkata pesawat berkenaan, sebuah Boeing 767 milik Iraqi Airways, tidak lagi dalam perkhidmatan dan sedang menjalani pembaikan.
Setakat ini, belum ada sesiapa mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai serangan roket dan dron menyasarkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Zon Hijau keselamatan tinggi Baghdad, kemudahan diplomatik AS di lapangan terbang dan kawasan tentera milik gabungan yang diketuai AS di pangkalan Iraq.
Ia jarang diakui tetapi disyaki didalangi puak pro-Iran yang menuntut tentera AS dikerahkan membantu tentera Iraq memerangi kumpulan Daesh meninggalkan negara itu.
Gabungan yang diketuai AS menamatkan misi tempurnya di Iraq pada Disember lalu iaitu empat tahun selepas kerajaan Iraq mengisytiharkan kemenangan ke atas pejuang jihad.
Bagaimanapun, kira-kira 2,500 askar AS dan 1,000 askar gabungan masih kekal ditempatkan di Iraq untuk menawarkan latihan, nasihat dan bantuan kepada pasukan tentera tempatan.
Pada 3 Januari lalu, tentera AS menembak jatuh dua dron bersenjata yang menyasarkan lapangan terbang Baghdad.
Pada 13 Januari pula, tiga orang termasuk dua kanak-kanak, cedera terkena roket yang menerjah sebuah sekolah di Zon Hijau manakala dua roket lain jatuh di dalam kompleks kedutaan AS, namun tiada kecederaan berlaku.
Pada September lalu, serangan ‘dron bersenjata’ menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Arbil di Kurdistan Iraq, sebuah pangkalan menempatkan tentera gabungan. – AFP
SEBARKAN :