
Konvo Unisza : Isteri Pilu Wakili Arwah Suami Terima Skroll.
KUALA NERUS: “Ijazah sarjana ini ialah kenangan dan peninggalan terakhir paling bermakna arwah suami kepada saya,” kata Nor Hidayu Abdul Wahab.
Hidayu, 30, dari Kampung Bukit Payung, mewakili arwah suaminya, Mohd Huzir Mohamed, 35, menerima Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Mohd Huzir meninggal dunia pada 18 Ogos tahun lalu kerana serangan jantung ketika berehat di rumah.
Katanya, dia berasa sedih kerana hasrat suaminya untuk menaiki pentas menerima ijazah sarjana sambil disaksikannya tidak kesampaian.
“Suami memang teruja untuk menerima ijazah sarjana itu. Arwah ada memberitahu saya mengenai keterujaannya menghadiri konvokesyen bersama saya.
“Arwah berasa bangga apabila dapat menghadiri konvokesyen dan menerima ijazah sarjana itu sambil disaksikan saya.
“Bagaimanapun, kami hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan semuanya,” katanya.
Tambahnya, dia masih merindui arwah suaminya itu dan kejayaan suaminya menamatkan pengajian sarjana turut memberi inspirasi kepadanya.
“Suami merancang untuk belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah (Phd) namun apa daya perjuangan hanya sampai di sini.
“Sebagai isteri, saya berasa bangga dengan pencapaiannya itu,” katanya.
Menurutnya, suaminya berkhidmat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di UniSZA.
“Saya berkahwin dengan suami pada 18 Ogos 2018 dan suami meninggal dunia pada hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke empat,” katanya.
SEBARKAN :