Gelombang Peningkatan Covid-19 .

KKM Siap Siaga Hadapi Gelombang Peningkatan Covid-19 .

TERKINI

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengambil langkah siap siaga bagi menghadapi sebarang peningkatan kes COVID-19 dalam masa terdekat dengan menggunakan hospital daerah sebagai hospital hibrid bagi merawat pesakit dalam kategori satu hingga tiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun varian Omicron dilihat kurang serius berbanding ketika penularan Delta, kadar kebolehjangkitannya adalah amat tinggi.

Beliau berkata, penularan varian itu boleh meningkatkan kemasukan pesakit yang memerlukan rawatan dalam tempoh yang singkat di hospital terutamanya membabitkan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas, individu dengan komorbid serta kanak-kanak sekali gus mampu memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan di hospital.

“Berikutan itu, selain menggunakan hospital daerah, antara langkah lain yang diambil ialah dengan merujuk pesakit COVID-19 kategori empat dan lima ke hospital berpakar.

“Turut dilakukan ialah pesakit COVID-19 yang stabil akan dipantau di rumah melalui COVID-19 Assessment Centre (CAC) sehingga selesai tempoh pengasingan; dan menggunakan ubat antiviral yang sudah dikenalpasti, lebih awal di peringkat CAC dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pembabitan setiap individu dan semua pihak melalui ‘whole government, whole society approach’ adalah sangat penting bagi menentukan sama ada lonjakan kes COVID-19 disebabkan oleh varian baharu dapat dibendung atau tidak.

Justeru, pihaknya menyeru orang ramai supaya sentiasa mengamal dan memperkukuhkan kawalan kendiri, terus mematuhi SOP dan segera mendapatkan vaksin COVID-19 (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) supaya kes COVID-19 negara dalam keadaan terkawal.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai situasi COVID-19 di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori satu dan dua didapati meningkat pada Minggu Epidemiologi2/2022, manakala bagi kategori tiga hingga lima kelihatan menurun pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022.

“Kebanyakan pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima ini dimasukkan ke hospital terdiri daripada warga emas.

Secara keseluruhannya, walaupun kes baharu COVID-19, kes aktif, dan nilai Rt menunjukkan peningkatan pada ME 2/2022, indikator jangkitan COVID-19 yang lain seperti jumlah kematian, kadar penggunaan katil ICU, dan alat pernafasan menunjukkan penurunan.

“Kebanyakan kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah terdiri daripada kategori satu dan dua sama seperti yang berlaku di negara luar, yang mana turut melaporkan bahawa varian Omicron mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dengan kadar keparahan yang kurang serius berbanding varian Delta,” katanya.

Mengenai kluster penularan COVID-19, Dr Noor Hisham memaklumkan pada ME 2/2022, kebanyakan kluster menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini kecuali membabitkan kluster tempat kerja dan kluster import.

“Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400 peratus dan 350 peratus pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula pada 9 Januari lalu.

“Peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka seterusnya merebak ke komuniti.

“Pematuhan SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan. Keselamatan dan kesihatan warga sekolah perlu diberi perhatian agar dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan,” katanya.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *