Dos Penggalak : Greece Tetapkan 1 Februari Sebagai Tarikh Akhir

Dos Penggalak : Greece Tetapkan 1 Februari Sebagai Tarikh Akhir.

DUNIA

ATHENS: Greece semalam menetapkan 1 Februari sebagai tarikh akhir untuk penduduk negara itu mendapatkan suntikan dos penggalak dan akan melarang penduduk tanpa dos penggalak daripada memasuki sebahagian besar tempat tertutup.

“Mulai 1 Februari, sesiapa yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tujuh bulan (dari tarikh suntikan dos kedua) akan disifatkan sebagai belum lengkap divaksin,” tegas Menteri Kesihatan, Thanos Plevris dalam wawancaranya bersama penyiar Ant1.

“Sijil vaksinasi mereka akan kekal sah, kerana ia adalah sijil Eropah yang sah bagi tempoh selama sembilan bulan, namun, mereka tidak akan mendapat keistimewaan dan kelebihan untuk memasuki tempat tertutup dan melakukan kegiatan lain yang dibenarkan untuk para penduduk yang sudah lengkap divaksin.”

Greece sedang bergelut untuk membendung penularan varian Omicron dan menggesa penduduk yang belum divaksin supaya mendapatkan vaksinasi serta mengenakan sekatan selanjutnya terhadap mereka yang sudah divaksin.

Sejak pertengahan November, penduduk yang tidak divaksin sebahagian besarnya dilarang daripada ruang tertutup, termasuk restoran, panggung wayang, muzium dan gimnasium, sekalipun jika mereka diuji negatif COVID-19.

Sebelum Malam Tahun Baharu, pemerintah Greece menguatkuasakan sekatan baru selepas jumlah kes harian kembali meningkat selepas sambutan Krismas.

Restoran dan pusat hiburan mesti ditutup pada tengah malam dan hanya enam orang dibenarkan duduk semeja, dengan muzik diharamkan sehingga 16 Januari.

Sehingga separuh tenaga kerja dari sektor awam dan swasta dinasihatkan supaya bekerja dari rumah, berbanding dengan 20 peratus sebelum ini.

Sebanyak 1,489,024 kes jangkitan dan 21,328 kematian berkaitan coronavirus dilaporkan di Greece sejak pandemik mula melanda.

Pada 14 Disember 2021, negara itu melaporkan angka korban COVID-19 yang mencecah paras rekod seramai 130 mangsa dalam tempoh 24 jam, namun, jumlah perangkaan harian sudah merosot ke paras bawah 100.

Sabtu lalu, Greece mengumumkan 65 lagi maut akibat jangkitan virus terbabit. – AFPGr

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *