Citigroup Inc

Citigroup Inc : ‘Tiada Suntikan Vaksin, Tiada Kerja’.

DUNIA

NEW YORK: Kakitangan Citigroup Inc di Amerika Syarikat (AS) yang belum mengambil vaksin COVID-19 hingga selewat-lewatnya Jumaat depan, akan diarahkan mengambil cuti tanpa gaji sebelum dipecat pada hujung bulan ini, melainkan jika mereka diberi pengecualian.

Perkara berkenaan terkandung dalam memo dikeluarkan syarikat perbankan dan perkhidmatan kewangan itu yang dilihat oleh Reuters, semalam.

Bank AS itu mengumumkan perancangan untuk menguatkuasakan peraturan baharu vaksinasi pada Oktober lalu, dan kini menjadi institusi utama Wall Street yang pertama melaksanakan ketetapan wajib imunisasi yang ketat.

Langkah tegas itu diambil ketika industri kewangan bergelut mencari kaedah terbaik untuk membolehkan pekerja kembali bertugas di pejabat dengan selamat dan operasi berjalan seperti biasa semula, terutama berikutan penularan pantas COVID-19 dengan varian Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.

Bank utama Wall Street yang lain, termasuk Goldman Sachs & Co, Morgan Stanley dan JPMorgan Chase & Co pula mengarahkan sejumlah pekerja tidak divaksin supaya bekerja dari rumah, namun belum ada yang mengambil tindakan sehingga memecat kakitangan, setakat ini.

Meskipun Citigroup muncul bank Wall Street yang pertama mewajibkan vaksinasi COVID-19, sebilangan syarikat utama AS sudahpun memperkenalkan dasar ‘tiada suntikan, tiada kerja’, termasuk Google dan United Airlines, dengan tahap ketegasan berbeza-beza.

Menurut sumber, lebih 90 peratus kakitangan Citigroup mematuhi arahan wajib itu dan jumlahnya sedang meningkat dengan pantas.

Namun, sumber itu berkata, tarikh peraturan terbabit berkuat kuasa adalah berlainan bagi kakitangan di cawangan.

Ketika mengumumkan dasarnya, Citigroup turut memaklumkan, syarikat itu akan membuat penilaian terhadap pengecualian atas alasan agama atau perubatan, ataupun sebarang penyesuaian mengikut undang-undang negeri atau tempatan, berdasarkan kes demi kes.

Katanya, pelaksanaan peraturan itu mematuhi dasar bawah pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, yang menetapkan semua pekerja yang menyokong kontrak kerajaan, perlu divaksin sepenuhnya berikutan kerajaan adalah ‘pelanggan besar dan penting’.

“Anda dialu-alukan memohon jawatan lain di Citigroup pada masa akan datang, selagi anda mematuhi dasar vaksinasi ditetapkan oleh syarikat.

“Jika anda tidak divaksin, kami menggesa anda untuk mendapatkan suntikan itu secepat mungkin,” menurut bank terbabit dalam memo berkenaan. – REUTERS

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *