
Cabaran Gen-Z : Keputusan Kejohanan Boling Junior All-Stars STORM Bawah 22.
PETALING JAYA: Pemain boling utama negara, Muhammad Rafiq Ismail bermain cemerlang untuk dimahkotakan sebagai juara Cabaran Gen-Z pada Kejohanan Boling Junior All-Stars STORM Bawah 22 ke-21 di Sunway Mega Lanes, di sini, hari ini.
Walaupun bermula dengan kurang memberangsangkan, Muhammad Rafiq berjaya menjadi juara dengan catatan jatuhan pin keseluruhan 2,334, sekali gus mengalahkan Ahmad Aidil Abdul Halim di tempat kedua (2,219), manakala Muhammad Hazim Ali Hanafiah, ketiga (2,197) pada perlawanan 10 permainan itu.
“Masa mula-mula, selepas permainan kedua saya di kedudukan kedua terakhir. Jadi, pada masa itu saya motivasikan diri sendiri supaya jangan menyerah kalah. Jadi saya kekalkan permainan, buat yang terbaik dan Alhamdulillah saya menang.
“Secara keseluruhan permainan tadi pun turun naik juga pada mula-mula. Tapi pada akhir-akhir permainan saya dapat kejar,” katanya selepas pertandingan berkenaan.
Muhammad Rafiq berkata walaupun kejohanan itu hanya disertai pemain tempatan akibat sekatan pandemik COVID-19, kejohanan itu masih dilihat sebagai satu kejohanan yang prestij dalam komuniti dan pemain boling.
“Saya gembira sebab penutup untuk tahun ini saya menang dan Cabaran Gen Z ini pula edisi yang pertama dan saya orang pertama memenanginya. Memang saya sasarkan nak menang,” katanya sambil mengakui kejohanan itu adalah antara yang paling diminati setakat ini.
Sementara itu bagi kategori wanita Gen Z, menyaksikan pemain boling kebangsaan, Nur Syazwani Sahar mengungguli carta dengan 2,145 jatuhan pin, mengatasi Nurul Alyssa Junaidi (2,079) dan Nur Amirah Auni (2,051) masing-masing di tempat kedua dan ketiga pada perlawanan 10 permainan.
“Saya rasa gembira dan bagi saya ia satu yang keputusan yang baik. Perlawanan agak getir dan saya buat beberapa perubahan, kekalkan prestasi dan akhirnya berjaya. Saya rasa permainan ke tujuh dan lapan di mana saya berjaya menjarakkan diri,” kata Nur Syazwani.
Muhammad Rafiq dan Nur Syazwani masing-masing membawa pulang RM6,000 dan RM4,000.
– BERNAMA
SEBARKAN :