Skuad Harimau Malaya Terkubur!. Tewas 4-1 Kepada Indonesia.

Piala Suzuki : Skuad Harimau Malaya Terkubur!. Tewas 4-1 Kepada Indonesia.

SUKAN

KUALA LUMPUR: Impian skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 terkubur di Stadium Nasional, Singapura sebentar selepas tewas 4-1 kepada musuh tradisi, Indonesia.

Dalam aksi terakhir Kumpulan B itu, anak buah Tan Cheng Hoe bermula baik dan mencapai sasaran untuk mendapatkan gol awal apabila Kogileswaran Raj meledak gol pembukaan pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan itu, Indonesia yang mempamerkan permainan pantas menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil selepas Irfan Jaya meledak gol penyamaan pada minit ke-36.

Kealpaan benteng pertahanan skuad Harimau Malaya sekali lagi dihukum Irfan selepas pemain itu bijak menggunakan kesempatan dari situasi kelam kabut di depan pintu gol pada minit ke-43 untuk meledak gol kedua buat skuad Garuda.

 

baca sini : Piala Suzuki AFF 2020 : Harimau Malaya Berazam Bermati-Matian Berdepan Indonesia.

 

Hanya lima minit selepas bersambung separuh masa kedua, gawang skuad Harimau Malaya bocor lagi dan kali ini menerusi rembatan deras Pratama Arhan.

Cheng Hoe melakukan beberapa perubahan termasuk meletakkan Dion Cools bermain di posisi atas dan memasukkan Guilherme De Paula serta Akhyar Rashid pada minit ke-60, namun tetap tidak mampu mengubah nasib pasukan kebangsaan.

Sebaliknya, ketika skuad negara berusaha keras untuk meneruskan sisa perjuangan mereka, Indonesia pula mendapat gol keempat pada minit ke-82 menerusi Elkan Baggott, sekali gus meranapkan impian skuad Harimau Malaya.

Kekalahan itu menyaksikan pasukan kebangsaan menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata.

Selain gagal mengulangi pencapaian bergelar naib juara pada 2018, skuad Harimau Malaya juga tidak mencapai sasaran yang diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mara ke final pada edisi kali ini.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *