Traktor Terbalik dalam parit di Parit Tok Ngah

Traktor Terbalik, “Saya Seperti Diberi Nyawa Kedua Oleh Allah,”-Mangsa.

TERKINI DALAM NEGARA

“SAYA seperti diberi nyawa kedua oleh Allah,” kata Mohd Saufi Abdul Othman, 41, yang hampir menemui ajal selepas traktor terbalik dipandunya hilang kawalan ,  terhumban ke dalam parit di Parit Tok Ngah, Parit Buntar, 10 Mei lalu.

Dia menceritakan pengalaman itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat di rumahnya, hari ini.

Mohd Saufi berkata, kejadian itu menyebabkan dia hampir lemas kerana traktor terbalik dengan ke empat-empat tayar ke atas dan dia terperangkap.

Katanya, keadaan lebih sukar memandangkan kakinya patah dan tersangkut pada pedal minyak dan brek.

“Dalam keadaan hampir lemas dan kesakitan saya cuba menyelamatkan diri dengan melonjakkan badan sambil melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’.

“Secara tiba-tiba jentera itu seakan-akan terapung sedikit, membolehkan muka saya timbul ke permukaan air untuk terus bernafas, “katanya.

Bagaimanapun, dia masih terperangkap dan hanya berserah kepada Allah dengan harapan ada yang datang membantu.

Katanya, doanya termakbul apabila ada penduduk yang kebetulan lalu di kawasan itu, dan membantu memangku kepalanya sementara menunggu bantuan lain.

“Hampir setengah jam di dalam air barulah jentera itu dapat diangkat dan saya terus dihantar di Hospital Parit Buntar sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya yang mempunyai lima anak berusia tiga tahun hingga 19 tahun.

Dalam pada itu Sham berkata, pihaknya sudah memberi bantuan awal kepada mangsa, dan akan cuba mendapatkan bantuan lain memandangkan mangsa tiada sumber pendapatan lain ketika ini.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *