
Drone, Pacuan Empat Roda Pantau Di Sempadan Malaysia Dan Thailand.
RANTAU PANJANG: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan menggunakan 25 unit drone bagi memantau pergerakan di sSempadan Malaysia Dan Thailand, dalam mengekang jenayah sempadan termasuk mengelak warga asing bolos.
Pemangku Ketua Pengarah AKSEM, Mohd Ridzuan Mohd Zain, berkata drone yang membabitkan nilai lebih RM3 juta untuk penggunaan di beberapa negeri sempadan termasuk Kelantan dan Kedah akan dibekalkan oleh kerajaan mulai, Julai ini.
Katanya, menerusi penggunaan drone, pihaknya yakin mampu membantu untuk memantau pergerakan di sepanjang 662 kilometer Sempadan Malaysia Dan Thailand.
“AKSEM mengenal pasti sebanyak 137 laluan tikus atau pengkalan haram yang aktif di sepanjang sempadan bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Perlis dengan Kelantan mencatatkan jumlah paling banyak.
“Justeru, unit drone AKSEM akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan mereka akan menghadiri kursus sebelum ia dilaksanakan secara rasmi pada 1 Julai ini.
“Di Kelantan sahaja kita akan menyediakan 10 drone untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas memantau kawasan Sempadan Malaysia Dan Thailand, di pengkalan haram parkir di sini, petang semalam.
Mohd Ridzuan berkata, sebelum ini AKSEM sudah menggunakan drone walaupun tidak secara meluas dan pada masa sama mereka melihat penggunaan alat itu mampu meningkatkan operasi di sempadan.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Op Benteng yang dilakukan, keaktifan penyeludupan termasuk membabitkan warga asing semakin menurun, memandangkan kawalan ketat daripada semua agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Namun, hasil pemerhatian di kawasan sempadan, mereka (warga asing) ada cubaan untuk masuk ke Malaysia namun berjaya dipatahkan pasukan keselamatan.
“Jika sebelum ini kebanyakan mereka akan masuk dengan skala besar menerusi jalan laut, kita percaya mereka akan mengubah modus operandi kepada Sempadan Malaysia Dan Thailand dalam usaha untuk lolos ke dalam negara.
“Justeru, kita akan menggandakan kawalan di sempadan dengan dibantu beberapa agensi lain dan percaya penggunaan drone mampu membantu mengawal pergerakan di sempadan,” katanya.
Beliau berkata, selain drone, kerajaan turut membekalkan 25 kenderaan pacuan empat roda kepada AKSEM dalam masa terdekat.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memperhebatkan Op Benteng di semua sempadan negara, bagi memastikan warga asing yang lolos keluar untuk berhari raya di negara mereka, tidak akan kembali ke Malaysia.
Katanya, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong tikus masuk ke negara ini, bagi mengekang penularan kes import wabak COVID-19.
SEBARKAN :