''(ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih,"

Ujian Swab Atas Semua PATI Bakal Dilaksanakan-Ismail Sabri Yaakob.

DALAM NEGARA TERKINI

”(ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih,”

 

 

KUALA LUMPUR: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini yang disahkan negatif COVID-19 ketika ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) akan dihantar pulang ke negara asal.

Operasi memburu PATI akan diteruskan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bagi membolehkan pihak berkuasa membuat saringan kesihatan dan memastikan status kesihatan berkaitan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin pagi tadi berkata, Kementerian Luar akan berbincang dengan rakan sejawat negara berkaitan berhubung urusan membawa pulang rakyat mereka.

“Antara perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu juga adalah saringan COVID-19 (ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PATI yang positif (COVID-19) akan dihantar ke MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang). Mereka yang negatif setelah menjalani kuarantin dan dirawat di MAEPS perlu dihantar pulang ke negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata selain MAEPS, kerajaan turut menambah dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk merawat pendatang tanpa izin positif COVID-19 iaitu Hospital Kusta Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur.

Semua pusat rawatan berkenaan dijangka mampu menampung seramai 1,430 pesakit dalam kalangan pendatang tanpa izin yang positif COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu diskriminasi terhadap golongan PATI di negara ini kerana tindakan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat yang majoritinya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.

“Mereka perlu sedar pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki negara secara haram. Saya tidak tahu (jika ada) mana-mana negara dalam dunia ini yang membenarkan mereka yang masuk secara haram tanpa dokumen sah bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak ada.

“Mereka yang masuk secara haram adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap. Itu jelas dalam undang-undang. Jadi tidak timbul isu.

“Sekurang-kurangnya kita tahu apabila kita tangkap mereka dan dikesan positif COVID-19. Mereka patut berterima kasih kepada kita. Cuba bayangkan kalau tidak ditangkap mereka akan jadi golongan penyebar virus kepada rakyat Malaysia yang tidak bersalah,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan tindakan menangkap pendatang tanpa izin dapat mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini dan seterusnya melindungi keselamatan rakyat keseluruhannya.

Semalam, dilaporkan 227 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen – Bukit Jalil, KLIA Sepang dan Semenyih, didapati positif COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua pegawai, kakitangan sokongan dan pihak yang berurusan secara langsung dengan depoh tahanan PATI akan diwajibkan membuat ujian saringan COVID-19.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan semua pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di depoh bebas jangkitan virus berkenaan termasuk pembekal makanan atau sesiapa yang ada kaitan dengan pusat itu.

“Setakat ini di tiga depoh tahanan PATI (di Sepang, Semenyih dan Bukit Jalil), semua pegawai kita didapati negatif COVID-19. Saringan ini termasuk kepada pembekal makanan atau sesiapa saja yang ada kaitan dengan depoh tahanan PATI akan diwajibkan membuat saringan bagi memastikan mereka bersih daripada jangkitan,” katanya.

SEBARKAN :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *